OBAMA ANGKAT SUMPAH
WASHINGTON: Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baru - yang ke-44 dan yang pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam sambil berazam untuk menerokai hubungan baru dengan dunia Islam.
"Kita telah memilih harapan di sebalik kebimbangan, perpaduan yang bertujuan di sebalik konflik," kata beliau dalam ucapan sulungnya sejurus selepas mencipta sejarah sebagai Presiden yang baru bagi AS.
"Bermula hari ini kita perlu bangkit, membuang yang keruh dan kembali bekerja untuk membina semula Amerika," kata Presiden berusia 47 tahun, dari parti Demokrat, di hadapan rakyatnya yang masih bimbang dengan kesan kemelesetan ekonomi paling teruk sejak 1930-an
Malah, ucapannya juga menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia dan negara-negara Islam selepas diselubungi pelbagai persepsi negatif sejak 11 September 2001 di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush.
"Amerika merupakan rakan kepada setiap negara dan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang inginkan masa depan yang aman dan bermaruah, dan di mana kami bersedia untuk menerajuinya sekali lagi.
"Kepada dunia Islam, kita harus menerokai perjalanan baru berdasarkan kepentingan bersama dan penghormatan bersama," kata beliau sambil menekankan, "ia tidak diberikan tetapi harus diperoleh."
Bagaimanapun Obama memberi amran bahawa Washington akan berhadapan dengan mana-mana pihak yang menggunakan "keganasan" dan memenggal mereka yang tidak berdosa tanpa sebarang kompromi.
"Kepada dunia Islam, kami inginkan satu arah tuju yang baru," kata Obama lagi.
Malah dalam ucapannya itu, Obama juga bertekad untuk menangani krisis ekonomi dan kesan peperangan di dua negara, yang secara langsung menjejaskan imej Washington di kaca mata dunia.
Obama yang dipilih sebagai Presiden AS pada 4 November lalu menyempurnakan upacara itu kira-kira 1.06 pagi (waktu Malaysia) di hadapan Ketua Hakim John Roberts.
Obama merupakan Presiden AS yang kelima paling muda dan beliau menggantikan Bush.
Sebelum giliran Obama angkat sumpah, bekas Senator Delaware Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden yang baru di hadapan Hakim John Paul Stevens.
Terdahulu kedua-dua Obama dan Bush tiba di bangunan Capitol - lokasi angkat sumpah dari White House menggunakan kenderaan rasmi yang sama.
0 comments:
Post a Comment