Friday, January 2, 2009

EKONOMI NEGARA MAKIN MURAM SURAM

Ekonomi negara suram dan semakin suram. Hari ini, Bernama melaporkan, Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini kepada 2.5 peratus berbanding unjurannya pada Oktober sebanyak 3.5 peratus.

Ini kerana “keadaan ekonomi makro tidak menentu yang berterusan serta permintaan pengguna yang menyederhana, merupakan antara faktor yang boleh menjejaskan prospeks pertumbuhan ekonomi domestik. Berikutan masalah semasa itu, ekonomi serantau yang lemah dijangkakan memberi impak ketara ke atas sektor luaran Malaysia, yang sejak bulan-bulan kebelakangan ini menunjukkan tanda-tanda kelesuan.”

Dengan itu, semoga prihatin dan mulai waspadalah para pemimpin kita semua. Kurangkan politik. Banyakkanlah usaha-usaha merancang, menggubal serta melaksanakan dasar, strategi serta tindakan anti-krisis yang komprehensif lagi berkesan demi manfaat rakyat jelata.

Dalam hal ini, wajar jika pemerintah segera tubuhkan badan petugas khas seperti MTEN. Komen Dan Kajang mengenainya yang dikirimkan ke blog ini adalah seperti berikut:

Kalau kita membaca buku Datuk Mahani Zainal Abidin bertajuk Rewriting The Rules - The Malaysian Crisis Management Model, kita tentu akan menghargai peranan pasukan MTEN. Antara lain, Mahani menceritakan bahawa dalam tempoh dua bulan sahaja (sewaktu kegawatan ekonomi 1998) MTEN mengadakan sebanyak 250 mesyuarat, iaitu pada anggaran empat mesyuarat sehari. Itu menunjukan betapa seriusnya pasukan MTEN ketika itu. Tapi, sekarang ini, Majlis Ekonomi yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, nampaknya gah dengan nama sahaja.Tiada tindakan berkesan. Pelan ransangan yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pun agak samar-samar serta tidak memberi fokus yang khusus. Oleh itu, tidak nampak apa ruginya jika kerajaan hidupkan semula formula MTEN dalam menghadapi krisis ekonomi sekarang.

Soal hidup-mati pekebun kecil sawit dan getah pun jangan kita lupakan. Dalam hal ini, renungkanlah pandangan Imah yang juga dikongsikan menerusi blog ini seperti berikut:

Krisis ekonomi dekad 1990-an, hanya melibatkan wilayah Asean dan Korea Selatan. Ekonomi Eropah, Amerika, Timur Tengah dan wilayah lain tidak terjejas. Ketika itu, bahan eksport utama negara - petroleum dan minyak sawit - amat stabil harganya dan dapat membantu mengimbangkan pendapatan negara yang terjejas di sektor pembuatan. Pada masa itu, masyarakat luarbandar yang bersandarkan pendapatan kepada hasil sawit dan getah, tidaklah terjejas pendapatan mereka, bahkan mereka dapat membantu pusingan modal dalam negara dengan harga sawit dan getah yang setabil. Bezanya hari ini, harga petroleum menjunam, harga komoditi teras yang lain - minyak sawit dan getah - jatuh ke paras yang amat rendah. Eksport bahan pembuatan lain juga akan turut terjejas. Ini bermakna, pendapatan segolongan besar rakyat Malaysia telah merosot. Dengan itu, tanpa mengira apa jenamanya, badan bertindak seperti MTEN wajiblah segera ditubuhkan. Kerajaan tidak boleh menunggu keadaan telah parah baru nak bertindak.

Oleh itu, kerana Abdullah sudah berikrar bahawa “kerajaan berazam mengambil langkah-langkah berkesan untuk memelihara kekuatan ekonomi negara dan melindungi kepentingan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang mencabar” tahun ini, fikir-fikirkanlah dua pandangan mengenai MTEN seperti di atas.

Abdullah perlu fikirkan soal MTEN ini untuk buktikan kata-katanya sempena tahun baru tiga hari lalu bahawa beliau “yakin dan percaya bahawa dengan niat suci dan semangat gigih, tiada gunung yang terlalu tinggi untuk kita daki dan tiada laut yang terlalu dalam untuk kita selami.”

Akhir sekali, kepada seluruh perwakilan UMNO yang akan menentukan barisan pucuk kepimpinan tertinggi parti Mac depan, hayatilah pertanyaan Anak Pantai Merdeka di bawah ini:

Harapan yang begitu tinggi terletak dibahu barisan kepimpinan selepas Mac tahun ini. Di dalam menghadapi kegawatan ekonomi global yang mungkin memuncak pada tahun ini, apakah kepimpinan yang bakal dipilih pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2009 mampu menangani permasalahan ini?

Soalan di atas pasti boleh dijawab oleh warga UMNO jika mereka sudi memenuhi harapan Cheng Ho supaya dipilih “pemimpin yang berkualiti, walaupun sebengis Tun Dr Ismail, di tempat yang sesuai. Kita terlalu mengamalkan sikap populist dengan tidak menitikberatkan meritokrasi dalam memilih pemimpin.”

0 comments:

website hit counters
Get a free hit counter here.

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP