Thursday, January 22, 2009

GERHANA MATAHARI DI MALAYSIA PADA 26 JAN



Gerhana Matahari Separa di Malaysia pada 26 Jan 2009

Dalam masa 7 hari lagi, dunia akan menyaksikan sebuah lagi fenomena gerhana matahari, iaitu Gerhana Matahari Annular atau Gerhana Matahari Cincin.
Pada ketika berlakunya ijtimak di antara Bulan dan Matahari, Bulan akan bergerak betul-betul di hadapan Matahari, lalu mengakibatkan cahaya matahari dihalang daripada sampai ke sesebuah kawasan di Bumi.

Di dalam kes 26 Januari nanti, ia dipanggil Gerhana Matahari Cincin kerana pada ketika itu, saiz bulatan Bulan kelihatan kecil sedikit berbanding saiz bulatan Matahari. Pada waktu puncak gerhana, Bulan akan berada di tengah-tengah, manakala saki baki bulatan matahari akan kelihatan di sekeliling Bulan membentuk seolah-olah sebuah cincin.

Di Malaysia, kita hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa sahaja, iaitu hanya sebahagian matahari sahaja yang akan terlindung oleh Bulan.

Di Kuala Lumpur, permulaan gerhana adalah pada jam 4.31 petang, di mana ketika itu, matahari akan mula kelihatan 'sompek' sedikit kerana Bulan sudah mula melindunginya.
Puncak gerhana berlaku pada jam 5.50 petang, di mana 72% matahari akan dilindungi Bulan.

Kemudian Bulan akan perlahan-lahan keluar daripada Matahari dan gerhana pun akan tamat pada jam 6.58 petang.

Secara umumnya, suasana tidak akan kelihatan gelap seperti Gerhana Penuh, tetapi kita mungkin akan dapat merasa keadaan seperti redup sedikit, walaupun ketika itu Matahari kelihatan seperti memancar macam biasa di langit.
Kali terakhir rakyat Malaysia menikmati suasana Gerhana Matahari ialah pada tahun 1998, iaitu pada 22 Ogos di mana pada ketika itu, Gerhana Matahari Cincin telah berlaku di tanahair kita.

0 comments:

website hit counters
Get a free hit counter here.

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP