MINYAK TURUN LAGI
Baru-baru ini, harga petrol akan diturunkan lagi ke RM1.80 seliter.
Sejak kenaikan mendadak dari RM1.92 ke RM2.70 seliter pada 4 Jun 2008 yang lalu, kerajaan telah menurunkan harga pasaran petrol sebanyak 7 kali ke RM2.55 (23/8/08), RM2.45 (25/9/08), RM2.30 (15/10/08), RM2.15 (1/11/08), RM2.00 (18/11/08), RM1.90 (2/12/08) dan akhirnya RM1.80 sebentar lagi.
Akibat dengan kenaikan mendadak harga petrol pada bulan Jun yang lalu, para peniaga dengan senang hati mendapat alasan untuk menaikkan harga barangan. Hampir kesemua barangan harian telah dinaikkan harga, walaupun komponen minyak tidak terdapat pada barangan tersebut. Alasannya, harga penghantaran (delivery cost) telah naik akibat kenaikan harga petrol.
Kenaikan harga barangan yang tidak dapat dibendung telah dijadikan modal politik pembangkang untuk menghentam kerajaan. Brader Anwar Bin Ibrahim telah berjaya mendapat air-time percuma kerana dapat menjolok Shabery Chik untuk berdebat dengan beliau mengenai harga minyak pada masa perdana (prime time) di rangkaian televisyen utama negara. Selanjutnya, Anwar menggunakan momentum yang sama ketika berkempen di Permatang pauh, sehingga menang besar dan berjaya menjadi Ketua Pembangkang.
Sekiranya Pak Lah mendengar saranan Sharir Samad untuk menaikkan harga petrol hanya pada bulan Ogos 2008, mungkin kerajaan dapat membendung kenaikan mendadak harga barangan. Tetapi khabarnya, Pak Lah telah mendengar nasihat kabinet dapurnya yang berpengkalan di tingkat empat. Mereka di tingkat empat yang pandai tapi tidak bijaksana ini telah mencadangkan kenaikan harga petrol secara mengejut pada tanggal 4 Jun 2008 tanpa mendapat maklum balas sepatutnya dari kementerian-kementerian yang berkaitan (terutamanya KPDNHEP dan MITI).
Sekiranya harga minyak petrol kekal hingga bulan Ogos yang lalu, kerajaan mungkin tidak perlu membayar rebat RM625 untuk kenderaan di bawah 2000cc. Orang kaya yang memandu kereta mewah BMW 3 series pun mendapat habuan RM625 rebat yang sama, begitu juga dengan orang kampung yang masih memandu Proton Saga cabuk. Jumlah rebat kenderaan di bawah 2000cc yang telah dibayar oleh kerajaan telah mencapai ratusan juta ringgit.
Sekiranya harga petrol dinaikkan sedikit demi sedikit dan tidak mendadak, kerajaan mungkin dapat membendung harga barangan dari naik mendadak. Inflasi dapat juga dibendung. Inilah yang diguna pakai di Indonesia. Dan dengan penurunan harga minyak di pasaran antarabangsa, kerajaan boleh menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengekalkan harga petrol dengan mengurangkan subsidi petrol. Kita boleh buat simulasi sendiri sekiranya harga petrol cuma naik RM0.20 (10%) ke RM2.10 pada 4/6/08, dinaikkan lagi 10% ke RM2.30 pada 1/8/08 dan dikekalkan di paras RM2.30 sehingga jangkawaktu yang sesuai. Sekiranya kenaikan harga petrol dihadkan pada paras 10% setiap kali kenaikan (dan bukannya 40% seperti yang dibuat), peniaga tidak akan bertindak menaikkan harga barangan dengan tinggi mendadak sehingga 40%. Dan setelah menaikkan harga, mentality peniaga ialah untuk mengekalkan harga barangan mereka, walau pun kos barangan telah turun.
Kita hanya terfikir akan satu kebaikan kenaikan mendadak harga petrol dari RM1.92 ke RM2.70 seliter. Kita telah dapat perhatikan pengurangan ketara kegiatan Mat Rempit akibat dari harga petrol yang mahal. Jika tidak, sebelum bulan Jun 2008, setiap hujung minggu, TV3 akan menyiarkan aksi-aksi polis yang terlibat untuk mencegah kegiatan Mat Rempit di bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain tempat.
Dengan penurunan semula harga petrol ke RM1.80 seliter, yaini lebih murah dari harga pada awal tahun ini, kegiatan Mat Rempit akan mula bertambah semula. Inikan pula dengan bertambahnya golongan muda yang baru sahaja tamat persekolahan tingkatan lima mereka.
Begitu juga dengan insentif pengelola konsesi lebuhraya yang telah bersetuju untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 10% pada waktu tengah malam hingga awal pagi mulai 1 Januari 2009. Insentif ini akan menambahkan kegiatan Mat Rempit ala KL Drift dan Impak Maksima yang menggunakan kereta untuk berlumba pada waktu tengah malam.
Itulah halnya. Harga minyak turun lagi. Tetapi yang naik minyak adalah Mat Rempit.
Harga barangan masih di takuk yang tinggi. Pak Lah hanya mengeluh dan menyalahkan para peniaga kerana masih degil untuk menurunkan harga barangan. Sepatutnya Pak Lah kenalah berfikir dan menurut nasihat menteri kabinet sebelum menaikkan secara mendadak harga petrol tempohari. Barulah kita dapat membendung harga barangan dan selanjutnya inflasi yang dihadapi.
0 comments:
Post a Comment